TORONTO: Sekurang-kurangnya lima maut manakala seorang lagi cedera dalam kejadian tembakan di sebuah kondominium mewah di Toronto, Kanada pada Isnin.

Menurut polis wilayah York, kejadian berlaku kira-kira jam 7.20 malam waktu tempatan.

Suspek Francesco Villi, 73, yang merupakan penduduk di Bellaria Residences itu turut terbunuh dalam kejadian berbalas tembakan dengan polis.

Tragedi berlaku di beberapa unit kediaman di mana seorang mangsa cedera dan dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Ketua Polis York, Jim Macsween berkata polis menemui mayat mangsa dengan kesan tembakan di beberapa lokasi di kompleks kondominium itu.

Setakat ini siasatan polis mengesahkan suspek bertindak sendirian, namun penduduk lain di bangunan terbabit telah dipindahkan sebagai langkah berjaga-jaga. 

Difahamkan suspek sebelum ini tidak berpuas hati dengan badan pengurusan kondominium tersebut dan telah bertindak menyaman mereka.

Siasatan awal mendapati Villi telah merancang serangan dengan pergi dari pintu ke pintu pada Ahad malam.

Menurut Unit Siasatan Khas Ontario (SIU), Villi menggunakan pistol semi-automatik untuk menembak dan membunuh tiga lelaki dan dua wanita.

Tiga daripada mangsa sasarannya merupakan ahli badan pengurusan kondominium tersebut.