KEDAI serbaneka 7-Eleven di seluruh Amerika Syarikat menjadi sasaran pihak berkuasa Imigresen yang menjalankan operasi memburu pekerja asing yang tidak mempunyai permit kerja sah.

Operasi pada Rabu itu melibatkan 98 kedai di 17 negeri itu dilihat sebagai komitmen negara Uncle Sam di bawah pentadbiran Presiden Donald Trump untuk membanteras perniagaan yang menggajikan warga asing secara tidak sah.

“Operasi hari ini bagi menghantar mesej kepada pemilik perniagaan yang mengambil dan menggajikan pekerja haram.

"Jika anda melanggarnya (undang-undang), anda harus bertanggungjawab,” kata Pengarah Imigresen dan Kastam AS, Thomas D Homan dalam satu kenyataan.

Penguatkuasaan Imigresen yang lebih tegas di bawah pentadbiran Trump menyaksikan peningkatan 40 peratus dalam penangkapan dan pengusiran warga asing.

Sementara itu, 7-Eleven Inc dilihat menjauhkan diri dengan memaklumkan bahawa kedai serbaneka adalah perniagaan francais yang dimiliki individu persendirian yang bertanggungjawab terhadap pekerja mereka.

"7-Eleven mengambil serius terhadap pematuhan undang-undang imigresen dan telah menamatkan perjanjian dengan francaisi yang disabitkan bersalah melanggar undang-undang berkenaan," kata syarikat itu.