TEXAS, AMERIKA SYARIKAT: Sekurang-kurangnya lapan maut dan ratusan lain cedera dalam insiden rempuhan pada malam pembukaan festival muzik anjuran rapper Travis Scott di Houston, Texas, Amerika Syarikat.

Menurut pihak berkuasa, suasana panik tercetus selepas orang ramai membanjiri kawasan di hadapan pentas Festival Astroworld sekitar pukul 9 hingga 9.15 malam (waktu tempatan) pada Jumaat.

Ekoran kesesakan di depan pentas, beberapa pengunjung mulai rebah serta pengsan dan suasana semakin kecoh sekitar pukul 9.38 malam sebaik tercetus "insiden kecederaan besar-besaran", menurut Ketua Bomba Houston, Samuel Pena.

Berikutan itu, 17 orang dibawa ke hospital untk menerima rawatan dengan 11 daripada mereka mengalami serangan jantung.

Menurut Pena, antara mangsa yang mengalami serangan jantung itu ialah seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun.

Dalam insiden itu, dianggarkan 300 orang yang mengalami kecederaan ringan menerima rawatan di hospital medan yang disediakan berhampiran festival tersebut.

Memetik laporan media tempatan, Houston Chronicle, Travis yang juga teman lelaki Kylie Jenner, menghentikan persembahannya beberapa kali selepas melihat peminatnya mengalami kecederaan ketika berada di hadapan pentas.

Artis itu kemudian meminta pihak pengawalan keselamatan supaya memastikan peminatnya selamat dan membawa mereka keluar dari kawasan berkenaan.

Setakat ini, pihak berkuasa masih belum mengenal pasti punca kejadian tersebut.

Pena turut memberitahu, dianggarkan sekitar 50,000 pengunjung menghadiri festival muzik berkenaan.

Susulan kejadian itu, Pena berkata, acara tersebut dihentikan oleh penganjur selepas sejumlah besar individu dilihat cedera sehingga anggota perubatan kecemasan tidak mampu menampung jumlah mangsa.

Penganjur juga membuat keputusan membatalkan hari kedua dan ketiga festival berkenaan yang dijadualkan mempamerkan artis lain seperti SZA, Bad Bunny dan 21 Savage.