DAMSYIK: Kes wabak taun dilaporkan semakin meningkat di Syria selepas meragut 81 nyawa sejak Ogos hingga Oktober lalu.

Menurut laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), wabak itu telah menjangkiti 24,614 penduduk Syria sejak Oktober.

Memetik laporan Arab News, Deir Ezzor, Raqqa dan Hasakah merupakan daerah paling terjejas diserang wabak itu.

Dalam masa sama, sebanyak 65 kes wabak taun turut dilaporkan di beberapa kem pelarian.

Wabak taun telah membawa kebimbangan utama rakyat Syria selepas negara itu dilanda perang saudara, penularan COVID-19 dan kemarau yang teruk.

Sejumlah kawasan di Syria, terutamanya wilayah terpencil berdepan krisis air bersih selepas infrastruktur pengairan dan pembetung musnah dalam perang saudara pada 2011.

WHO percaya bahawa orang ramai terdedah kepada taun selepas minum air di Sungai Euphrates yang kering.

Musim kemarau yang kritikal disebabkan pengepaman air bawah tanah yang berlebihan dan pembinaan empangan baru di hulu sungai Eufrat menyebabkan sungai kekeringan.

Selain itu, hampir separuh penduduk Syria bergantung pada sumber air alternatif yang kebiasaannya tidak selamat, dan sekurang-kurangnya 70 peratus air kumbahan tidak dirawat.