CASTEL BOLOGNESE: Ribuan penduduk dipindah keluar di utara Itali ketika mana pasukan penyelamat berusaha memasuki bandar dan kampung-kampung yang terputus hubungan kerana faktor geografi, ketiadaan bekalan elektrik dan telekomunikasi akibat hujan lebat serta banjir.

Sehingga pagi Jumaat, beberapa kawasan di bandar Faenza masih ditenggelami air dengan kereta-kereta terbenam di bawah tanah banjir dan lumpur.

Lebih daripada 10,000 orang melarikan diri dari kediaman mereka dan beberapa lagi diselamatkan dari bumbung atau balkoni oleh helikopter penyelamat.

Manakala beberapa yang lain dibawa keluar dengan bot peronda Perlindungan Awam.

Angka korban akibat bencana alam di wilayah Emilia-Romagna itu direkodkan seramai sembilan orang.

Selain itu, beberapa kawasan terpencil masih belum mendapat bantuan, susulan kejadian tanah runtuh yang menutup jalan-jalan utama menyebabkan gangguan perkhidmatan telefon.

Keadaan ini menghalang pasukan penyelamat daripada akses kepada penduduk untuk memahami keadaan semasa mereka.

Dalam pada itu, Institusi Perlindungan dan Penyelidikan Alam Sekitar tempatan telah mengenal pasti Emilia-Romagna sebagai salah satu wilayah di Itali yang paling berisiko terhadap banjir, di mana wilayah serta penduduknya hadapi risiko lebih tinggi berbanding wilayah lain di negara berkenaan.