BANGKOK: Sebanyak 44,307 isi rumah terjejas akibat hujan lebat dan banjir yang melanda sembilan wilayah di selatan Thailand, sejak 23 Nov lalu.

Dalam satu kenyataan, Jabatan Pencegahan dan Mitigasi Bencana memaklumkan monsun timur laut di Teluk Thailand menyebabkan hujan lebat di sembilan wilayah selatan - Phetchaburi, Prachuap Khiri Khan, Chumphon, Surat Thani, Nakhon Si Thammarat, Krabi, Phatthalung dan Songkhla.

Hujan lebat di beberapa bahagian selatan menyebabkan air sungai melimpah dan banjir kilat di kawasan rendah.

"Setakat hari ini, paras air di beberapa kawasan sudah surut. Sejumlah 33,852 isi rumah di lima wilayah - Chumphon, Surat Thani, Nakhon Si Thammarat, Phatthalung dan Songkhla masih terjejas akibat banjir.

"Wilayah paling teruk dilanda banjir ialah Nakhon Si Thammarat yang menjejaskan sejumlah 17,978 isi rumah di 13 daerah," menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Bangkok Post melaporkan semua 23 daerah di Nakhon Si Thammarat diisytiharkan sebagai zon bencana.

Gabenor wilayah Kraisorn Wisitwong berkata langkah itu akan mempercepatkan operasi menyelamat dan membolehkan pentadbiran wilayah mengeluarkan bajet kecemasan untuk penduduk terjejas, menurut laporan itu.

Jabatan Meteorologi menyatakan hujan lebat diramal melanda sepanjang Teluk Thailand sekurang-kurangnya sehingga Sabtu.

-- BERNAMA