Abang tiri Kim Jong-un pemberi maklumat kepada CIA?

Firdaus Azil
Jun 11, 2019 14:20 MYT
WSJ turut melaporkan, peranan Jong-nam sebagai pemberi maklumat CIA turut didedahkan dalam buku terbaharu Anna Fifield, seorang wartawan di Washington Post, bertajuk 'The Great Successor' yang akan diterbitkan Selasa ini. - Gambar fail
Abang tiri kepada pemimpin utama Korea Utara Kim Jong-un, iaitu Kim Jong-nam, didakwa merupakan pemberi maklumat kepada Agensi Perisikan Pusat Amerika Syarikat (CIA), lapor agensi Wall Street Journal hari ini.
Laporan itu selanjutnya memetik sumber yang rapat dengan siasatan itu sebagai berkata, terdapat rangkaian yang rapat antara Jong-nam yang telah terbunuh di Malaysia pada 2017 dan CIA.
WSJ turut melaporkan, peranan Jong-nam sebagai pemberi maklumat CIA turut didedahkan dalam buku terbaharu Anna Fifield, seorang wartawan di Washington Post, bertajuk The Great Successor yang akan diterbitkan Selasa ini.
Fifield berkata, sumber beliau sebelum ini memaklumkan bahawa Jong-nam sering bertemu dengan orang perantara CIA di Singapura dan Malaysia.
Buku itu turut menceritakan mengenai sebuah rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang menunjukkan Jong Nam berada di dalam lif di sebuah hotel di Malaysia bersama dengan seorang lelaki Asia, yang didakwa merupakan ejen CIA.
Turut diceritakan mengenai beg sandang Jong-nam (yang dibawa ke hotel berkenaan) yang dikatakan mengandungi sejumlah wang bernilai USD120,000, bayaran dari hasil maklumat yang beliau berikan kepada agensi itu.
#Agensi Perisikan Pusat Amerika Syarikat #Anna Fifield #CIA #Kim Jong-nam #Kim Jong-un #Malaysia #Singapura #The Great Successor #Wall Street Jorunal #Washington Post