JOHANNESBURG: Afrika Selatan melaporkan hampir 20,000 kes jangkitan COVID-19 baharu dan 36 kematian pada Rabu, suatu rekod sejak varian Omicron dikesan di negara itu, lapor Channel NewsAsia.

Masih belum jelas berapa banyak jangkitan yang berpunca daripada Omicron kerana hanya sebahagian sampel yang diuji. Namun, pakar kesihatan percaya situasi sekarang sedang membawa negara itu ke dalam gelombang keempat.

Statistik dari Institut Kebangsaan bagi Penyakit Berjangkit (NICD) mencatatkan jumlah keseluruhan kes COVID-19 di negara itu sebanyak 3.071 juta kes, dengan lebih daripada 90,000 kematian dikaitkan dengan virus itu sejak pandemik bermula.

Bukti awal menunjukkan varian Omicron lebih mudah menjangkiti berbanding varian-varian sebelumnya, namun simptom yang ditunjukkan lebih ringan. Kadar mereka yang dimasukkan ke hospital juga berkurangan terutamanya bagi yang sudah lengkap divaksin.

Situasi ekonomi Afrika Selatan – yang terjejas akibat larangan perjalanan antarabangsa sejak para saintis mengenal pasti varian itu dengan tepat pada bulan lalu – sangat membimbangkan.

Presiden Cyril Ramaphosa bakal bertemu pegawai-pegawai kanan yang mengendalikan hal ehwal tindakan COVID-19 minggu ini, dan akan membuat keputusan sama ada perlu mengetatkan lagi sekatan pergerakan yang sekarang ini pada tahap rendah.

Itu bagaimanapun dilihat tidak akan berlaku, memandangkan kapasiti hospital masih terkawal berbanding situasi gelombang jangkitan sebelumnya.

Pihak berkuasa kesihatan Afrika Selatan, SAFHPRA pada Rabu meluluskan vaksin ketiga atau dos penggalak Pfizer untuk dewasa dan yang melepasi usia 12 tahun.