AZAZ: Agensi pengurusan bencana Turki meluahkan rasa kagum dengan usaha rakyat Malaysia yang banyak menghulurkan bantuan kepada pelarian Syria melalui pelbagai Badan Bukan Kerajaan (NGO).

Menurut Koordinator Presidensi Pengurusan Bencana dan Kecemasan (AFAD) di Azaz, Hakan Kose, beliau gembira melihat anak-anak muda Malaysia melakukan usaha tersebut walaupun perlu berdepan dengan pelbagai cabaran dan risiko.

"Saya teruja melihat anak muda Malaysia daripada pelbagai NGO datang dari tempat yang jauh untuk memberikan bantuan.

"Mereka semua mempunyai sifat berperikemanusiaan dan belas kasihan dalam hati mereka dan saya amat menghargai usaha yang dilakukan untuk membantu rakyat pelarian Syria.

"Saya doakan agar kesemua mereka berada dalam lindungan Allah S.W.T dan kita semua bersatu sebagai satu saudara dalam perkara ini," katanya.

Antara peserta daripada pelbagai NGO Malaysia yang menyertai misi bantuan kepada pelarian Syria. - Astro AWANI

Beliau berkata demikian ketika ditemui Astro AWANI semasa kunjungan hormat Badan Bukan Kerajaan (NGO) Malaysia For Syria (MFS) di Azaz, Syria, pada Rabu.

AFAD merupakan sebuah agensi kerajaan Turki yang menguruskan kecemasan dan perlindungan awam di negara itu.

Sejak perang di Syria meletus pada 2011, AFAD telah menyelaraskan tindak balas terhadap krisis kemanusiaan dalam menangani keperluan asas pelarian.

Antara peserta daripada pelbagai NGO Malaysia yang menyertai misi bantuan kepada pelarian Syria. - Astro AWANI

Ini termasuk menggalakkan komuniti pelarian untuk mengambil bahagian dalam pengurusan kem melalui pilihan raya dan menyembuhkan luka perang dengan menyediakan latihan profesional kepada penduduk.

Ditanya mengenai situasi pelarian Syria di Azaz, Hakan berkata, terdapat 45,000 keluarga di 68 kem di sekitar daerah tersebut.

Antara barangan yang diperlukan ketika musim sejuk ini adalah minyak petrol, arang batu, baju sejuk dan alatan kebersihan diri. - Astro AWANI

"Dianggarkan 25,000 khemah pelarian perlu diganti kerana berada dalam kondisi yang teruk koyak-rabak dan bocor kerana terlalu lama digunakan.

"Selain itu, antara barangan yang diperlukan ketika musim sejuk adalah minyak petrol, arang batu, baju sejuk, alatan pemanas, dapur dan alatan kebersihan diri," ujarnya.