Jurucakap rasmi Air India mendedahkan bahawa telah dikeluarkan arahan melalui dokumen dalaman syarikat penerbangan tersebut pada tahun lalu mengenai keadaan fizikal anak kapal yang tidak cergas.

Syarikat penerbangan itu telah mengeluarkan amaran kepada 600 anak kapalnya supaya kembali menjaga penampilan tubuh pada tahun lalu, namun seramai 125 orang tidak dapat kembali ke berat badan yang dikehendaki.

Portal berita BBC melaporkan, sumber dari Air India itu bagaimanapun memberitahu bahawa isu tersebut bukan tentang berat badan, tetapi kecergasan.

Pegawai dari syarikat penerbangan itu mengesahkan arahan tersebut telah dikeluarkan, namun ia merupakan dokumen dalaman yang tidak boleh diulas secara umum.

Mereka berkata, cadangan tersebut dibuat memandangkan terdapat kebimbangan sekiranya kru kabin yang tidak cergas tidak mampu bertindak dengan cekap sewaktu situasi kecemasan.

Peraturan penerbangan menetapkan bahawa Indeks Jisim Tubuh (BMI) 18-25 adalah normal untuk kru kabin lelaki, manakala untuk wanita adalah 18-22.

Pakar penerbangan Kapil Kaul berkata: “Kru yang berlebihan berat badan adalah isyarat bahawa syarikat penerbangan itu sendiri ‘tidak sihat’. Anda memerlukan anak kapal yang cergas, mesra dan bijak untuk membawa imej syarikat penerbangan.”

Bagaimanapun, ketua kesatuan sekerja Tapan Sen menafikan terdapat peraturan perkhidmatan yang menegaskan tentang hal berat badan.

Itu bukan kali pertama Air India mahu menggantung tugas pekerja kabinnya kerana isu berat badan berlebihan.

Pada tahun 2009, syarikat itu telah mencetus kontroversi apabila memecat sembilan pramugari kerana mereka sangat gemuk. Pemecatan itu dibuat dengan alasan keadaan fizikal itu 'boleh menjejaskan kecekapan' dalam tugas.

Pada 2004, syarikat penerbangan itu pernah dikecam ramai pihak apabila mengumumkan bahawa calon-calon pramugari tidak boleh mempunyai parut, jerawat atau sebarang tanda yang ketara di bahagian muka.