KUALA LUMPUR: Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed AS) masih mempunyai ruang untuk mengendalikan dasar monetarinya bagi memerangi tekanan inflasi, menurut Rakan Kongsi dan Pengarah Synergy Link Capital Pte, Andy Tan.

Bagaimanapun, beliau menyifatkan mengurangkan inflasi adalah cabaran yang sukar memandangkan pengeluar AS masih belum memindahkan kos kepada pelanggan.

"Harga tenaga dijangka naik. Ini memberi kesan terhadap kos baja yang kemudiannya meningkatkan harga yang dibayar oleh pengguna. Inflasi bukannya sementara.

"Oleh itu, kami pastinya akan mencapai (inflasi) dua digit pada tahun ini. Kerajaan AS berusaha sedaya upaya untuk meredakannya, tetapi harga tenaga telah mula meningkat. Minyak mentah kini melebihi US$95 setong dan kami belum mengalami musim sejuk," katanya.

Beliau berkata demikian dalam webinar bertajuk "Kebimbangan Terhadap Inflasi dan Unjuran Niaga Hadapan Indeks" yang dianjurkan CGS CIMB Securities Sdn Bhd.

Memdangkan Eropah telah memulakan langkah untuk menyimpan bekalan gas bagi musim sejuk dan perang Rusia-Ukraine yang terus menjejaskan rantaian bekalan makanan dan tenaga, inflasi dijangka lebih tinggi dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

Kadar inflasi tahunan AS berada pada 8.5 peratus pada Julai selepas mencecah 9.1 peratus pada Jun dan rakyat tidak pernah berdepan inflasi yang tinggi dalam tempoh 40 tahun, katanya.

Sehubungan itu, Tan berkata, berikutan keadaan kewangan semasa yang tidak memberangsangkan, peningkatan kadar merupakan antara kaedah yang boleh digunakan oleh Fed.

"Pada masa ini, kami menyasarkan 50 mata asas lagi menjelang akhir tahun ini. Ini hanya sebahagian daripada langkah yang dilaksanakan Fed. Malah, terdapat perbincangan mengenai Fed mengurangkan lembaran imbangan pada tahun ini," katanya.

Beliau berkata Malaysia turut tidak terlepas daripada mengalami kesan buruk peningkatan inflasi global dalam keadaan kebergantungan negara terhadap import dan kemerosotan ringgit.

"Negara sedang berada dalam persekitaran kenaikan kadar faedah akibat inflasi import. Kita mengalami harga minyak mentah dan baja lebih tinggi dan antara lain, dipindahkan kepada kos makanan," katanya.

-- BERNAMA