SEORANG aktres dan model terkenal Malayalam atau Tamil, Sahana, mengejutkan industri hiburan India apabila ditemui mati beberapa hari lalu.

Sahana dilaporkan ditemui meninggal dunia secara misteri pada malam ulang tahun kelahiranya ke 22 di kediaman yang terletak di Kozhikode. Dia ditemui mati tergantung di tingkap tandas.

Kematian Sahana yang meraikan ulang tahunnya pada malam itu kemudian dikaitkan  sebagai sebuah pembunuhan.

Pihak keluarga Sahana mendakwa pelakon yang baru berkahwin selama satu tahun setengah itu mati di tangan suaminya sendiri yang dikenali sebagai Sajjad.

“Anak saya tidak mungkin bunuh diri, tapi dia dibunuh.

“Dia selalu mengadu dipukul suami dan tidak memberi nafkah yang baik buatnya. Kehidupannya penuh tekanan. Pihak berkuasa mesti menjalankan siasatan dengan baik untuk keadilan anak saya,” ujar ibu Sahana seperti dilaporkan IndianExpress.com.

Menerusi laporan pihak berkuasa, Sahana yang baru terbabit dalam sebuah filem telah menjadi model untuk banyak kempen iklan termasuk barang kemas.

“Sajjad sebelum ini bekerja di Qatar namun menganggur di sini. Sahana baru-baru ini terbabit dalam sebuah filem.

“Keduanya dilaporkan bertengkar mengenai duit bayaran yang diperoleh Sahana setelah membintangi filem tersebut. Sajjad pulang lewat sewaktu hari ulang tahun Sahana, mereka bertengkar sebelum dia menemukan isterinya tidak sedarkan diri di tandas,” kata kenyataan pihak penyiasat.

Menurut laporan, suaminya, Sajjad mendakwa telah menemui Sahana tidak bernyawa di dalam tandas rumah.

Hal itu disahkan oleh tuan rumah mereka yang mendengar jeritan Sajjad selepas menemui isterinya.

“Sajjad menjerit meminta tolong dan apabila ditanya mengapa, dia hanya memberitahu menemui Sahana dalam keadaan tidak sedarkan diri. Kami terus meminta bantuan,” kata tuan rumah pasangan itu.

Berita asal di Gempak boleh dibaca di sini