American Airlines dan US Airways bersetuju untuk bergabung membabitkan nilai sebanyak 11 bilion dolar, menjadikannya antara syarikat penerbangan terbesar di dunia.

Walaupun bergabung, kedua syarikat sepakat untuk mengekalkan nama American Airlines dan akan berpangkalan di Fort Worth, Texas.

“Dengan gabungan American Airlines dan US Airways, kami akan menjadi penerbangan utama dunia. Gabungan kekuatan kedua-kedua syarikat akan memberi nilai tinggi kepada pemilik kami dan juga manfaat kepada pelanggan dan juga warga kerja kami,” kata ketua pegawai eksekutif American Airlines Thomas Horton.

Penggabungan ini dibuat 14 bulan setelah American Airlines memohon perlindungan kebankrapan, iaitu pada November 2011.

Ia dijangka dapat menjana pendapatan tahunan sebanyak 40 bilion dolar dan menawarkan lebih 6,700 penerbangan ke 336 destinasi di 56 negara.

Rundingan penggabungan dijangka selesai suku ketiga tahun ini dan ia akan mengurangkan bilangan syarikat penerbangan utama Amerika kepada empat, iaitu American Airlines, United, Delta dan Southwest.

Syarikat menjangka dapat mengutip keuntungan sebanyak satu bilion dolar selain penjimatan kos yang dianggarkan 150 juta dollar.

Bagaimanapun penggabungan berkenaan masih perlu dipantau oleh badan pengawal atur industri penerbangan.

Lima tahun lalu, American Airlines ialah syarikat penerbangan terbesar dunia, di mana ia menguasai program loyalty untuk pelanggan setianya.