DEWAN Perwakilan Amerika Syarikat pada Khamis meluluskan undang-undang yang akan menyelaras program pajakan-pinjaman ketenteraan era Perang Dunia II, bagi membantu Ukraine melawan pencerobohan Rusia.

Rang undang-undang (RUU) itu, yang diluluskan dengan undian besar 417-10, akan diserahkan ke White House untuk ditandatangani Presiden Joe Biden.

Ia dibuat selepas terdahulu, pentadbiran Biden mengumumkan akan memohon AS$30 bilion lagi daripada Kongres dalam bentuk bantuan ketenteraan dan kemanusiaan untuk Ukraine.

"Tugas kita hari ini, sekali lagi, tetap sama seperti 'lend-lease' (pinjaman-pajakan) yang asal. Jangan silap, Rusia menyerang dengan matlamat yang dinyatakan untuk menamatkan kebebasan dan tadbir urus kendiri di Ukraine.

"Namun, dengan keberanian dan keazaman yang tidak dapat dibayangkan, rakyat Ukraine mempertaruhkan nyawa mereka untuk demokrasi, bukan sahaja untuk negara mereka sendiri, tetapi untuk demokrasi besar dunia.

"Ini adalah tentang kebebasan melawan diktator. Autokrasi menentang demokrasi. Rakyat Ukraine sedang berjuang untuk kita semua. Kita mesti membantu mereka," kata Pelosi.

Kelulusan itu sekali gus akan mengemas kini RUU Franklin D. Roosevelt 1941 yang pernah diguna pakai ketika memerangi Nazi Jerman.

Ia akan mengetepikan keperluan pembayaran balik tertentu dan memanjangkan pajakan alat ketenteraan yang melebihi lima tahun.

Biden dijangka menandatangani RUU itu menjadi undang-undang, memberikan kelonggaran yang lebih besar kepada pentadbiran untuk menghantar peralatan ketenteraan ke Ukraine dan negara-negara jiran bersekutu di Eropah Timur.