KADAR inflasi di Amerika Syarikat melonjak sehingga 1.2 peratus pada Mac tahun ini, sekali gus menjadi lonjakan terbesar yang pernah dicatatkan sejak Disember 1981.

Manakala Indeks Harga Pengguna (CPI) pula mencatatkan pertambahan sehingga 8.5 peratus, naik lebih tinggi berbanding sewaktu Februari yang merekodkan 7.9 peratus. 

Kenaikan harga barangan keperluan seperti makanan, petrol dan perumahan itu didorong oleh sekatan daripada rantaian bekalan dan juga kesan daripada konflik Rusia dan Ukraine.

Laporan juga menunjukkan bahawa inflasi yang berlaku itu meningkat 0.8 peratus berbanding kadar dari tempoh Januari hingga Februari.

Angka inflasi Mac adalah yang pertama merekodkan lonjakan penuh harga petrol yang terkesan teruk akibat pencerobohan Rusia ke atas Ukraine sejak 24 Februari lalu.

Serangan kejam dari Moscow telah mencetuskan sekatan meluas barat terhadap ekonomi Rusia dan ia telah mengganggu pasaran makanan dan tenaga global.

Menurut laporan, harga purata segelen petrol di Amerika Syarikat kini AS$4.10 — naik 43 peratus daripada setahun yang lalu, walaupun ia telah turun semula dalam beberapa minggu yang lalu.

Peningkatan harga tenaga telah menyebabkan kos pengangkutan yang lebih tinggi untuk penghantaran barangan dan komponen merentasi ekonomi, yang seterusnya, telah menyumbang kepada harga yang lebih mahal kepada pengguna.

Pasaran kewangan kini menganggarkan kenaikan kadar inflasi yang lebih tinggi tahun ini berbanding yang diramalkan oleh Rizab Persekutuan baru-baru ini seperti bulan lepas