AMERIKA SYARIKAT sedang menyediakan pakej senjata bernilai AS$1.1 bilion bagi membantu Ukraine yang sedang berperang dengan Rusia.

Media antarabangsa melaporkan, pakej itu merupakan penambahan terbaharu dari segi persenjataan untuk Ukraine, dalam berdepan ancaman tentera Rusia di timur negara itu.

Pegawai kanan AS yang enggan identiti didedahkan, memaklumkan pakej itu akan diumumkan dalam masa yang terdekat.

Pakej itu, antara lain, mengandungi sistem pelancar HIMARS, peluru, pelbagai jenis sistem antidron dan radar, termasuk alat ganti, latihan dan bantuan teknikal.

Amerika Syarikat sedang memantau secara dekat selepas laporan menyebut tentera proRusia telah menganjurkan referendum di beberapa wilayah Ukraine yang telah ditakluki.

Washington kini dalam persediaan untuk mengumumkan sekatan ekonomi terbaharu terhadap Rusia sekiranya Moscow mengambil alih wilayah tersebut selepas keputusan referendum itu diumumkan.

Presiden AS Joe Biden menyelar referendum itu, dan berikrar Amerika Syarikat tidak akan mengiktiraf keputusan tersebut.

Sehingga kini AS telah menyediakan bantuan ketenteraan bernilai AS$15 bilion kepada Ukraine.