OTTAWA: Kematian pasangan suami isteri jutawan Kanada, Barry dan Honey Sherman kekal menjadi misteri sehingga kini.

Memetik laporan CNN, mayat kedua-dua mereka ditemui pada 15 Disember 2017 selepas seorang broker barangan melawat rumah agam pasangan ini.

Masih berpakaian lengkap, Barry Sherman, 75 dan Honey, 70, ditemui di bahagian kolam renang rumah dengan leher diikat dengan tali pinggang.

Menurut pihak berkuasa Kanada, tiada penemuan atau bukti rumah mereka dipecah masuk pada hari itu.

Seiring masa berjalan, kisah kematian misteri pasangan jutawan ini menjadi tajuk utama akhbar dan pelbagai teori kedengaran mengenai kematian mereka.

Pada ulang tahun kelima kematian pasangan itu, anak lelaki Sherman, Jonathon Sherman menawarkan wang tunai berjumlah AS$35 juta (RM154 juta) kepada individu yang berjaya mengesan pembunuh ibu bapanya.

"Minggu ini adalah ulang tahun kelima sejak tarikh mereka dibunuh di rumah. Sejak tarikh itu, hidup saya diselubungi rasa kesakitan, kehilangan dan kesedihan dan perasaan ini kekal berada di situ," kata Sherman dalam satu kenyataan kepada CBC News Kanada.

Tambah Sherman, kes ini tidak akan dianggap selesai selagi pembunuh belum dibawa ke muka pengadilan.

"Saya berharap pada hari saya dapat tahu siapa pembunuh dan membuat pembayaran kepada yang membantu mengesan menjadi hari penyembuhan buat kami sekeluarga,” katanya.

Beberapa hari selepas penemuan suram itu, pihak berkuasa memaklumkan bedah siasat mendapati pasangan ini mati akibat 'mampatan leher ligatur' atau dicekik.

Siasatan disifatkan masih di peringkat awal dan kematian tidak dianggap sebagai pembunuhan.

Barry Sherman mengasaskan Apotex pada tahun 1974 dan mengembangkan syarikat farmaseutikal global itu sekali gus menyumbang lebih AS$50 juta (RM221 juta) kepada badan amal.

Sehingga tarikh kematiannya, Forbes menganggarkan aset kekayaan Sherman bernilai AS$3 bilion (RM13.3 bilion).

Pengebumian mereka dihadiri oleh ribuan orang termasuk Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau dan Menteri Wilayah Ontario, Kathleen Wynne.