BANGKOK: Memiliki kira-kira setengah juta pengikut di Instagram, dan menjalani gaya hidup penuh glamor, sosok wanita muda ini dikenali sebagai ‘puteri kecil’ dalam keluarga bekas perdana menteri Thailand, Thaksin Shinawatra.

Shinawatra - salah satu nama dan figura berpengaruh seiring kontroversi – meninggalkan rekod tersendiri dalam sejarah moden Negara Gajah Putih itu.

Kini, tiba pula giliran Paetongtarn Shinawatra, 35, anak bongsu daripada tiga beradik keluarga taikun bilionair tersebut, memberanikan diri melangkah ke arena politik Thailand yang kini berpecah-belah, menjelang pilihan raya umum pada Mac 2023.

AFP melaporkan, langkah itu membawa pengaruh Shinawatra kepada generasi baharu sekali gus membuka semula pertaruhan penglibatan keluarga ultra kaya itu dalam persaingan elit dengan golongan penyokong tegar istana dan tentera.

Buat masa ini, Paetongtarn memainkan peranan sederhana bersama parti pembangkang Pheu Thai, namun namanya disebut-sebut sebagai calon perdana menteri apabila pilihan raya diumumkan.

Thaksin, 72, telah digulingkan dalam gerakan tentera pada tahun 2006, dan hanya muncul sesekali dalam hantaran media sosial Paetongtarn, seperti mendukung cucunya atau bergambar semasa menikmati makanan.


Paetongtarn berkata, dia memperoleh kekuatan daripada sokongan kuat bapanya, dan sentimen itu mendapat perhatian daripada ratusan ribu pengikut mereka.

Kebanyakan penyokong mereka adalah daripada golongan miskin dan rakyat luar bandar, yang telah menjulang nama Thaksin dalam kemenangan pilihan raya tahun 2001 dan 2005.

Bagaimanapun, kemunculan Paetongtarn juga mencetus 'dendam' golongan elit royalist dan tentera terhadap keluarga itu, kerana telah lama mengesyaki Thaksin memanipulasi kekuatan parti pembangkang walaupun kini berada di luar negara.


Parti politik yang ada kaitan dengan taikun itu memenangi banyak kerusi setiap kali pilihan raya umum dijalankan sejak 2001, namun sering berdepan halangan seperti rampasan kuasa tentera atau dikekang kes mahkamah.

Thaksin, bekas pemilik Manchester City yang juga membangunkan empayar telekom dengan nilai kekayaan hampir AS$1.9 bilion, kini tinggal di Dubai untuk mengelak daripada dakwaan rasuah yang dikenakan ke atasnya.

Kakaknya, Yingluck pernah dilantik sebagai perdana menteri pada 2011, namn akhirnya diganti dengan Jeneral Prayut Chan-o-cha pada 2014 apabila kuasa militari mengambil alih tampuk pemerintahan.