NAMA aktor Bollywood, Shah Rukh Khan, kalau di Malaysia tidak perlu diperkenalkan lagi, popular sejak dari dahulu hinggalah sekarang.

Begitupun, artikel ini bukan berkaitan beliau sebaliknya melibatkan anaknya, Aryan Khan yang ditahan pada Ahad dalam serbuan penyitaan dadah dilakukan Narcotics Control Bureau (NCB) di sebuah kapal persiaran di pantai Mumbai.

Portal berita tempatan, News18 melaporkan, anak kepada aktor popular itu kini sedang disoal siasat NCB bagi membantu siasatan.

Menurut laporan itu lagi, perbualan WhatsApp Aryan Khan kini sedang diperiksa dan dia boleh didakwa di bawah Akta Narkotik dan Bahan Psikotropik (NDPS) 1985, sekiranya NCB menemui kaitan antaranya dan sitaan dadah tersebut.

Agensi tersebut yang menyerbu kapal persiaran, Cordelia, telah merampas pelbagai jenis dadah seperti kokain dan ‘hashish’ daripada individu yang didakwa mengadakan parti di atas kapal tersebut.

“Berdasarkan maklumat, pegawai NCB Mumbai melakukan serbuan di kapal persiaran Cordelia, yang menuju dari Mumbai ke Goa pada 2 Oktober 2021.

“Semasa operasi, semua suspek berdasarkan maklumat telah diperiksan pelbagai dadah seperti MDMA / Ecstasy, Cocaine, MD (Mephedrone) dan charas telah ditemui.

“Seramai lapan orang, termasuk dua wanita telah ditangkap dan kaitan mereka dengan serbuan tersebut sedang disiasat.

"NCB Mumbai telah mendaftarkan No. Jenayah. Cr 94/21 dalam kes ini. Siasatan lebih lanjut sedang dijalankan,” kata NCB dalam satu kenyataan pada pagi Ahad.

Difahamkan, bayaran masuk untuk pesta di atas kapal persiaran itu dalam lingkungan Rs1 lakh (RM5,636) kata seorang pegawai kepada CNN-News18.

Minggu lalu, pasukan NCB Mumbai dan Goa dalam operasi bersama telah menangkap rakan kongsi pelakon Bollywood, Arjun Rampal, Gabriella Demetriades dari Goa berkaitan dengan kes dadah.

Biro itu juga merampas sejumlah wang dan menurut sumber, saudara lelaki Gabriella, Agisilaos Demetriades, berketurunan Afrika Selatan juga telah ditangkap NCB pada tahun lepas.

Tangkapan itu merupakan sebagai sebahagian daripada siasatan terhadap dakwaan penggunaan dadah di Bollywood.