ANAK lelaki kepada pelakon popular Bollywood, Shah Rukh Khan dan dua lagi rakannya, ditahan reman sehingga 7 Oktober atas tuduhan pengambilan dadah.

Perintah reman itu dikeluarkan hakim Mahkamah Mumbai pada Isnin selepas pendakwa raya, Anil Singh, memohon agar ketiga-tiga individu itu diletakkan di bawah pengawasan sehingga 11 Oktober, lapor Live Mint.

Menurut Narcotics Control Bureau (NCB), Aryan Khan disyaki turut terlibat dalam sindiket dadah antarabangsa.

"Ketiga-tiga tertuduh perlu diletakkan di bawah pengawasan bagi membantu siasatan penglibatan mereka dalam sindiket dadah," kata Anil.

Katanya beberapa suspek turut didapati terlibat namun identiti mereka masih belum diketahui.

Aryan Khan, 23, ditahan bersama tujuh individu lain termasuk dua wanita dalam satu serbuan dilakukan NCB di sebuah kapal persiaran di pantai Mumbai pada Ahad.

BACA: Anak Shah Rukh Khan disiasat kes salah guna dadah di kapal persiaran

Turut dirampas 13 gram kokain, 21 gram charas (kanabis pekat), 22 pil methamphetamine, 5 gram dadah jenis mephedrone dan lebih 1.3 juta lakh rupee, lapor The Times of India.

Ketika serbuan, Aryan dilaporkan bersama dua rakannya iaitu pelakon, Arbaz Seth Merchant dan pereka fesyen, Munmun Dhamcecha.

Lima lagi individu yang ditahan terdiri daripada Nupur Satija, Ishmeet Chadha, Mohak Jaiswal, Gomit Chopra dan Vikrant Chhokar.