WILAYAH SINDH: Ratusan penduduk di wilayah Sindh, Pakistan dipindahkan oleh pasukan tentera susulan banjir besar yang mengakibatkan tambak Tasik Manchar pecah baru-baru ini.

Banjir itu telah menenggelami puluhan kampung dan memaksa ratusan keluarga meninggalkan rumah mereka.

Ada antara mereka yang menyelamatkan diri dalam keadaan tergesa-gesa dan panik.

Puluhan kem bantuan didirikan di bangunan kerajaan bagi memberi perkhidmatan kepada puluhan ribu orang.

Manakala ribuan lagi dibawa berteduh di kawasan yang lebih tinggi.

Pegawai tentera berkata pada Jumaat, ramai anggota mereka telah menyelamatkan lebih 700 penduduk di daerah Jamshoro.

Banjir yang berlaku di Pakistan telah meragut 1,391 nyawa dan menjejaskan 3.3 juta yang lain.

Dianggarkan setengah juta penduduk telah kehilangan tempat tinggal.

Walaupun hujan reda dan air banjir telah surut di banyak bahagian di Pakistan, wilayah Sindh kekal sebagai salah satu wilayah paling teruk terjejas akibat banjir.