BRASILIA:Angka korban jangkitan COVID-19 di Brazil kini mencecah 150,198 setakat Sabtu walaupun kadar jangkiran virus perlahan di negara itu.

Statistik terbaharu itu menyaksikan negara terbesar di Amerika Selatan itu menduduki tangga kedua selepas Amerika Syarikat yang merekodkan lebih 213,000 kematian.

Kementerian Kesihatan Brazil memaklumkan kumulatif kes di negara itu pula adalah sebanyak 5.082 juta setakat ini.

Dalam perkembangan sama, jumlah keseluruhan kes positif COVID-19 di negara Amerika Selatan dan Caribbean pula mencecah 10 juta kes, dan lebih 360,000 kes kematian.

Negara lain di Amerika Selatan yang merekodkan kes jangkitan tertinggi ialah Colombia dengan 894,300 kes dan 27,495 kematian.

Ia diikuti dengan Argentina sebanyak 871,455 kes dan 23,225 kematian, sementara Peru dengan 843,355 kes, 33,158 kematian.