HOUSTON: Angka kematian susulan rempuhan di Festival Muzik Astroworld meningkat kepada 9 selepas seorang pelajar universiti meninggal dunia pada Rabu, menurut peguam keluarga mangsa.

Rempuhan ketika konsert penyanyi rap Travis Scott diadakan pada Jumaat lepas meragut nyawa 9 mangsa antara usia 14 dan 27 manakala ratusan lagi cedera dalam insiden itu.

Seorang kanak-kanak berusia 9 tahun masih dirawat di hospital dalam keadaan kritikal, kata polis.

Menurut peguam James Lassiter, Bharti Shahani, 22, seorang pelajar di Universiti Texas A&M, meninggal dunia akibat kecederaan yang dialami di konsert tersebut.

Dia menghadiri konsert tersebut bersama kakak dan sepupunya yang hanya cedera dalam kejadian itu.

"Kami mahu pastikan mereka yang membuat keputusan untuk utamakan keuntungan daripada keselamatan orang ramai dipertanggungjawabkan," katanya dalam satu sidang media khas pada Khamis.

Sementara itu, Scott menggesa mangsa kejadian untuk menghubunginya dan ingin menghulurkan apa bentuk bantuan kepada mereka, dalam satu kenyataan pada Khamis.

BACA: 8 maut, ratusan cedera dalam rempuhan pada malam pembukaan festival muzik

Sebelum ini penyanyi itu menawarkan untuk membiayai kos pengebumian mangsa serta memberikan perkhidmatan kaunseling percuma kepada mereka yang terkesan akibat tragedi tersebut.

BACA: Travis Scott biaya kos upacara pengebumian mangsa, berdepan tindakan saman

Ketua Polis Houstanm Troy Finner berkata, polis masih menjalankan siasatan berhubung kejadian itu.

Sehingga kini sebanyak 50 saman difailkan terhadap syarikat Live Nation Entertainment Inc dan Scott.