Jumlah angka korban bencana gempa bumi di Wilayah Baluchistan, Pakistan kini melebihi 80 nyawa manakala beratus dilaporkan cedera.

Jumlah itu dijangka bertambah kerana ramai lagi mangsa dilapor terperangkap di bawah runtuhan.

Bagi usaha mencari dan menyelamat, Islamabad telah mengerah lebih seribu tentera ke lokasi kejadian.

Berikutan bencana terbabit, tanda amaran merah selain perintah darurat turut diisytiharkan di Awaran, kawasan yang paling teruk terjejas dalam kejadian jam 4.29 petang waktu tempatan tersebut.

Sebelum ini, rakaman stesen televisyen tempatan menunjukkan penduduk di Quetta, ibu kota Baluchistan, keluar dari kediaman mereka dalam keadaan panik sebaik berlaku gegaran.

Ia dapat dirasai sehingga ke Karachi dan berlaku sekitar dua minit.

Gempa kuat yang mencecah 7.8 magnitud turut menyebabkan sebuah pulau terbentuk di pesisir Pantai Gwadar dekat Laut Arab.

Ia dianggarkan mempunyai ketinggian sehingga 10 meter dengan garis pusat sepanjang 100 meter.