ANGKASAWAN Emiriah Arab Bersatu (UAE), Sultan alNeyadi, menyambut Ramadan di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS), pada Khamis.

Lelaki berusia 41 tahun itu menjadi angkasawan Arab pertama yang melakukan misi jangka panjang di luar bumi dengan tinggal selama enam bulan di ISS.

Beliau berlepas ke ISS dengan roket Falcon SpaceX, bulan lalu.

"Ramadan Mubarak. Semoga anda semua diberkati sepanjang bulan mulia ini. Berkongsi pemandangan malam yang indah dari Stesen Angkasa Antarabangsa dengan anda semua," katanya dalam ciapan di Twitter bersama video menunjukkan pemandangan dari angkasa Khamis malam.


AlNeyadi dilapor tidak dapat berpuasa pada bulan Ramadan kerana keperluan operasi bekerja di angkasa lepas, lapor IndiaToday.

Sebelum berlepas ke ISS, beliau dilapor berkata bahawa tidak boleh melakukan aktiviti "yang boleh menjejaskan misi atau mungkin membahayakan anak kapal".

Angkasawan itu telah menyelesaikan penilaian yang antara lain membolehkannya berjalan di angkasa lepas dan melakukan penyelenggaraan ISS.

Angkasawan Malaysia, Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha, menjadi angkasawan Islam pertama yang berada di angkasa ketika bulan Ramadan, pada 2007.

Dalam perkongsian dengan media, katanya beliau sempat menunaikan ibadat puasa dan solat ketika di ISS.

"Memang saya bukan angkasawan Islam pertama, tetapi adalah orang pertama pergi ketika Ramadan. Saya sempat berpuasa dan menunaikan solat di angkasa lepas. Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) juga buat kali pertama menerbitkan sebuah buku panduan mengenai cara beribadat di angkasa lepas.

"Ini perkara yang baik kerana secara peribadi, Islam adalah suatu yang mudah. Walaupun kita berada di dunia atau di mana-mana saja, termasuk angkasa lepas, kita tidak harus melupakan tanggungjawab sebagai orang Islam. Amat penting bagi saya menunaikan tanggungjawab ini dan menunjukkan kepada umat Islam bahawa Islam suatu cara hidup.

"Seolah-olah tidak terasa seperti berpuasa langsung. Walaupun tempoh masa berpuasa lebih kurang sama, iaitu antara jam 5 pagi hingga 7 malam dengan mengikut waktu Kazakhstan, saya berasa begitu berbeza apabila berpuasa di angkasa lepas. Saya rasa begitu tenang dan secara kerohanian begitu rapat dengan Allah," katanya dilapor Berita Harian.