HAINAN (China): Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadualkan tiba di sini esok bagi menghadiri Forum Boao bagi Persidangan Tahunan Asia 2023 (BFA 2023) dan memulakan lawatan rasmi empat hari ke China.

Beliau dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Boao International Airport petang esok, dengan diiringi oleh Menteri Pengangkutan Anthony Loke dan Menteri Pembangunan Dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming.

Sebaik tiba beliau dijangka menghadiri majlis berbuka puasa bersama dengan kira-kira 70 anggota delegasi Malaysia yang mengambil bahagian dalam BFA 2023 di Hotel Boao Golden Coast.

Anwar kemudiannya dijadualkan menghadiri mesyuarat bersama dengan kepimpinan tertinggi syarikat China Communications Construction Company (CCCC), yang merupakan kontraktor projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Pada Khamis pula Anwar dijadual menyampaikan ucapan di BFA 2023, yang juga akan dihadiri oleh Perdana Menteri China Li Qiang.

Pemimpin-pemimpin lain yang dijangka menghadiri persidangan tahunan itu ialah Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong, Perdana Menteri Sepanyol Pedro Sanchez, Perdana Menteri Ivory Coast Patrick Achi dan Perdana Menteri Kazakhstan Alikhan Smailov.

Turut dijangka hadir ialah Pengarah Urusan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) Kristalina Georgieva.

Anwar kemudiannya dijadualkan berlepas ke Beijing untuk meneruskan lawatan rasminya ke China, yang merupakan lawatan antarabangsa ke sembilan sejak beliau mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10 November lepas.

Hubungan diplomatik Malaysia dan China terjalin sejak 1974, dan terus berkembang dengan baik, dengan tahun lepas perdagangan antara kedua-dua negara meningkat 15.6 peratus tahun ke tahun kepada RM876 bilion.

Dengan tema "Dunia Tanpa Kepastian: Perpaduan dan Kerjasama untuk Pembangunan di tengah Cabaran", persidangan empat hari yang bermula hari ini akan berkisar kepada perbincangan serta rundingan berhubung pembangunan dan inklusif, keefisienan dan keselamatan, kerjasama serantau dan global, di samping perbincangan mengenai perkembangan berkaitan isu semasa dan akan datang dengan hasrat memupuk kerjasama antarabangsa dan menyepadu persepakatan.

Dibentuk pada tahun 2001 bagi menggalakkan integrasi ekonomi di rantau ini, agenda BFA tahun ini akan merangkumi empat modul, iaitu Pembangunan dan Keterangkuman; Kecekapan dan Keselamatan; Serantau dan Global; dan Masa Kini dan Masa Depan; dengan matlamat untuk menggalakkan perbincangan yang wajar mengenai hubungan bersama, kepentingan jangka pendek dan jangka panjang, menggalakkan kerjasama antarabangsa dan mengukuhkan konsensus.

-- BERNAMA