MEMILIKI kebolehan penyamaran adalah satu kelebihan bagi hidupan yang tinggal di laut dalam, terutamanya ketika ingin memburu mangsa.

Dalam penemuan terbaru, sepasukan saintis yang mengkaji beberapa makhluk eksotik telah berjaya membongkar rahsia di sebalik sekumpulan ikan yang memiliki warna tersendiri.

Kumpulan ikan tersebut - yang berasal daripada spesies fangtooth, Pacific blackdragon, anglerfish dan black swallower, berupaya mengubah bentuk fizikal tubuhnya.

Malah, lebih menakjubkan, spesies tersebut berkebolehan menyerap 99.95 peratus cahaya, dan hanya memantulkan kurang daripada 0.05 peratus cahaya yang menyuluh mereka.

Ia sekali gus menjadikan ‘mahkluk’ tersebut begitu sukar dilihat di laut dalam!

Bagaimanapun, ia berjaya dibongkar selepas para pengkaji menyelidik 16 jenis spesies yang tergolong dalam kumpulan ‘ultra hitam’.

Spesies tersebut berkebolehan menyerap 99.95 peratus cahaya, dan hanya memantulkan kurang daripada 0.5 peratus cahaya.

Kesemua spesies tersebut mempunyai ciri-ciri yang sama dan kesemuanya berupaya berubah bentuk!

“Terdapat banyak jenis pemangsa di laut dalam yang kita belum ketahui.

“Malah, ia juga berupaya meniru persekitaran, menjadikan ia sangat unik dalam kalangannya,” kata ahli zoologis Institut Muzium Kebangsaan Alam Semulajadi di Washington, Karen Osborn.

Jelas Osborn, disebabkan cahaya tidak dapat menembusi kawasan laut dalam, spesies tersebut juga mampu memancarkan cahaya bioluminescence yang boleh menarik perhatian mangsanya.

Dengan cahaya itu juga, kumpulan ikan tersebut mampu menakut-nakutkan hidupan pemangsa lain di kawasan tersebut.

Malah, kulit ikan tersebut juga antara yang berwarna hitam pekat yang pernah ditemukan.

Menurut Osborn lagi, kulit ikan tersebut juga mampu menyerap cahaya dengan efisien sehinggakan di kawasan yang mempunyai cahaya, mereka akan kelihatan seperti bayang-bayang.

Spesies tersebut dikesan ketika para pengkaji berkenaan cuba merakam gambar spesies tersebut sebelum ia dibawa ke darat.

Setelah menganalisis struktur kulit ikan yang luar biasa itu, para pengkaji menemukan sel-sel pigmen yang rapat dan sel-sel ini hampir tidak memiliki ruang sama sekali.



** Setiap Sabtu dan Ahad, AstroAwani.com membawakan artikel santai dan merangkumi pelbagai topik menarik seperti pelancongan, pemotoran, gaya hidup, hobi, kekeluargaan, kesihatan, pengetahuan am, trivia dan banyak lagi. Ikuti #SantaiHujungMinggu !