BEIJING: Syarikat teknologi Apple telah memadam sebuah aplikasi Al-Quran paling popular di dunia susulan "permintaan daripada pegawai atasan China".

Aplikasi "Quran Majeed" yang digunakan oleh berjuta-juta umat Islam dan mendapat hampir 150,000 ulasan boleh dimuat turun dari App Store di seluruh dunia, kecuali di China.

Portal BBC yang mendedahkan perkara ini memaklumkan bahawa aplikasi itu dipadam setelah didakwa menganjurkan teks agama secara haram.

Kerajaan China ketika dihubungi BBC walau bagaimanapun enggan memberi komen berhubung perkara itu.

Tindakan memadamkan aplikasi itu pertama kali dikesan oleh Apple Censorship, sebuah laman web yang memantau aplikasi di App Store Apple secara global.

Syarikat yang membina aplikasi tersebut, PDMS, dalam satu kenyataan menyebut bahawa aplikasi itu dipadam susulan arahan daripada kerajaan China.

"Menurut Apple, aplikasi 'Quran Majeed' telah dikeluarkan dari China App Store kerana didakwa mengandungi kandungan yang memerlukan dokumentasi tambahan daripada pihak berkuasa China.

"Kami telah berusaha menghubungi Pentadbiran Siber China dan pihak berkuasa China yang berkaitan untuk menyelesaikan masalah ini," tulis kenyataan PDMS.

Syarikat itu mendakwa hampir satu juta pengguna di China menggunakan aplikasi tersebut.

Parti Komunis China secara rasmi mengakui Islam sebagai sebuah agama di negara itu.

Namun, China telah dituduh melakukan pelanggaran hak asasi manusia, termasuk pembunuhan beramai-ramai, terhadap kumpulan etnik Uyghur yang kebanyakannya beragama Islam di Xinjiang.

Awal tahun ini, BBC melaporkan bahawa imam Uyghur telah menjadi sasaran tindakan keras kerajaan China di Xinjiang.

Pihak Apple enggan memberi komen, sebaliknya mendakwa terikat kepada pematuhan polisi Dasar Hak Asasi Manusia syarikat.

"Kami diminta untuk mematuhi undang-undang tempatan, dan ada kalanya timbul masalah rumit yang mungkin kami tidak setuju dengan pihak pemerintah."