BEIJING: Arab Saudi dan Iran telah menyambung semula hubungan diplomatik rasmi mereka hari ini, demikian menurut jurucakap Kementerian Luar Iran, Nasser Kanaani.

Kanaani yang mengiringi Menteri Luar Iran Hossein Amirabdollahian melawat Beijing, berkata selaras dengan rundingan antara menteri luar Arab Saudi dan Iran, kedua-dua pihak menggariskan pentingnya kestabilan dan keselamatan di rantau itu serta peranan negara serantau melindungi keselamatannya.

Amirabdollahian dan rakan sejawatannya dari Arab Saudi Faisal bin Farhan Al Saud menyatakan kesediaan untuk melaksanakan perjanjian asas antara kedua-dua pihak termasuk perjanjian komprehensif dan perjanjian keselamatan, lapor Agensi Berita Republik Islam (IRNA).

Kanaani berkata pihak Arab Saudi dan Iran turut berunding mengenai kerjasama ekonomi merangkumi sektor awam dan swasta.

Delegasi swasta dan awam dari kedua-dua negara dijadual mengadakan perbincangan mengenai memperluas kerjasama perdagangan, ekonomi dan pelaburan.

Beliau berkata Riyadh dan Tehran telah mencapai kesepakatan untuk memudahkan pengangkutan udara, pengeluaran visa dan perkhidmatan lain yang berkaitan kepada rakyat kedua-dua negara untuk menjalankan pertukaran ekonomi dan perdagangan serta ziarah dan umrah.

Riyadh dan Tehran turut bersetuju untuk membuka semula kedutaan dan konsulat, katanya.

-- BERNAMA