AS masuk bulan kedua program vaksinasi

Astro Awani
Januari 11, 2021 23:37 MYT
Fasa kedua vaksinisasi ini meliputi warga emas, guru-guru, pemandu bas, anggota polis dan anggota bomba. - Foto AP/Evan Vucci, File
WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) memasuki bulan kedua program vaksinasi yang diperluaskan.
Ia membuka stadium bola sepak dan pusat konvensyen bagi proses inokulasi yang lebih menyeluruh kepada rakyatnya.
Fasa kedua ini meliputi warga emas, guru-guru, pemandu bas, anggota polis dan anggota bomba.
Salah seorang warga emas di New York, David Garvin, 80, menyifatkan program vaksinasi itu sebagai satu harapan buat mereka.
Dia menerima suntikan vaksin di Brooklyn pada Isnin dan ia merupakan daerah pertama yang meletakkan mereka yang berusia 75 tahun ke atas untuk menerima vaksin selain daripada petugas kesihatan.
Di selatan California pula, Julieann Sparks, 41, menerima suntikan vaksin secara pandu lalu selepas ia dibuka di Stadium Besbol San Diego.
Untuk rekod, AS kini mencatatkan lebih 22.5 juta kes dengan lebih 375,000 kematian.
Selepas proses pengagihan yang perlahan melibatkan petugas kesihatan dan petugas rumah jagaan, negara itu memasuki fasa kedua walaupun fasa pertama masih lagi belum selesai.
#AS #petugas kesihatan #warga emas #program vaksinasi #bomba