SEOUL: Syarikat penerbangan Asiana Airlines dilaporkan tidak lagi menjual tempat duduk berhampiran pintu kecemasan tertentu di dalam pesawat Airbus A321-200.

Memetik CNN Travel, keputusan itu dibuat selepas kejadian seorang penumpang lelaki membuka pintu pesawat ketika dalam penerbangan.

Pihak syarikat penerbangan dalam sebuah kenyataan memberitahu tempat duduk dimaksudkan adalah tempat duduk 26A pada pesawat A321 dengan kapasiti 174 tempat duduk dan tempat duduk 31A dalam pesawat berkapasiti 195 tempat duduk.

"Langkah ini adalah sebagai langkah berjaga-jaga keselamatan dan akan dikuatkuasakan walaupun ketika penerbangan penuh," kata kenyataan itu.

Jumaat lalu, seorang penumpang dilaporkan bertindak membuka pintu kecemasan pesawat Asiana Airlines ketika pesawat hendak mendarat di lapangan terbang Daegu, Korea Selatan.

Penumpang itu dilaporkan berdepan tekanan selepas kehilangan pekerjaan baru-baru ini dan ingin keluar dari pesawat dengan cepat.

BACA: Korea Selatan: Lelaki buka pintu pesawat kerana mahu cepat turun - Polis