AUSTRALIA mengiktiraf kemasukan pelancong luar dan pelajar asing yang lengkap vaksinasi Sinovac Biotech dari China dan Covishield iaitu vaksin AstraZeneca buatan India.

Perkara itu dimaklumkan Perdana Menteri Australia, Scott Morrison pada Jumaat.

"Pintu sempadan antarabangsa akan dibuka tidak lama lagi.

"Pembukaan ini dijangka bermula bulan depan (November)," kata Morrison kepada pemberita.

Keputusan itu dibuat selepas pengawal selia ubat negara itu memberikan kebenaran kepada pelancong dan pelajar asing yang menerima vaksin diiktiraf untuk memasuki negara itu.

Australia antara negara memberi pengiktirafan dan membuka pintu sempadan kepada penerima vaksin Sinovac dan AstraZeneca ketika banyak negara belum mengambil tindakan sama.

Pengumuman pada Jumaat berpotensi membuka pintu kepada ribuan pelajar asing.

Kebenaran itu bakal memberi ruang kepada 57,000 pelajar asing dari China, India, Nepal dan Vietnam untuk memasuki semula negara terbabit bagi menyambung sesi pembelajaran mereka.

Tindakan itu juga dilihat bakal menyelesaikan isu sekatan dagangan China terhadap produk minyak zaitun keluaran Australia.

Pengiktirafan vaksin Sinovac yang berpusat di Beijing telah dipersetujui oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk penggunaan kecemasan, berbeza dengan Britain dan New Zealand yang belum mengesahkannya.

Beberapa negara Eropah mengatakan mereka akan menerima vaksin CoronaVac sebagai sebahagian daripada program kemasukan vaksin.

Amerika Syarikat (AS) menunjukkan langkah yang sama ketika mengumumkan rancangan untuk membuka jalan masuk kepada kebanyakan warga asing yang diberi vaksin minggu lalu.

Vaksin dibuat Sinovac dan Sinopharm adalah antara yang paling banyak digunakan di China, dan mempunyai kadar keberkesanan antara 50% hingga 80% untuk mencegah simptom COVID-19.

Sinovac juga merupakan salah satu vaksin COVID-19 yang paling banyak digunakan di seluruh dunia, digunakan dari Indonesia ke Brazil dan Turki, juga Malaysia.

Chile mengatakan awal minggu ini pihaknya akan mula memberikannya kepada kanak-kanak berusia enam hingga 11 tahun.