SYDNEY: Kerajaan Australia berkata impak gejala ringan daripada strain Omicron COVID-19 membolehkan negara itu meneruskan perancangan untuk membuka semula sektor ekonomi, walaupun kes jangkitan terbaharu mencatat rekod tinggi.

Terkini, kes positif baharu di negara itu lebih daripada 37,000 kes, dan bilangan pesakit yang di hospital juga meningkat, lapor Reuters.

Angka kes harian pada Isnin (3 Januari) diperoleh di negeri Victoria, Queensland, South Australia dan Tasmania.

Di New South Wales, tercatat sebanyak 20,794 kes baharu, lebih tinggi daripada angka pada Ahad.

Angka tertinggi kebangsaan pernah mencatat rekod lebih daripada 37,150 kes, tidak termasuk kes di Australia Barat dan Wilayah Utara.

"Kita sudah berhenti memikirkan tentang angka kes dan fokus kepada gejala dan penyakit yang serius. Kita kini hidup bersama virus, menjaga kesihatan sendiri dan memastikan kita memantau simptom, serta meneruskan ekonomi,” kata Perdana Menteri Scott Morrison.

Mereka yang didaftar masuk ke hospital meningkat ke 1,204 kes di New South Wales, naik lebih 10 peratus berbanding hari sebelumnya, dan tiga kali ganda lebih tinggi berbanding pada Hari Natal.

Menteri Kesihatan Persekutuan, Greg Hunt berkata, kerajaan diberitahu bahawa Omicron diakui lebih cepat merebak namun kesannya lebih ringan berbanding varian lain, sekali gus mengurangkan risiko ke atas individu dan sistem kesihatan.