MOSCOW: Menteri Pertahanan Australia Richard Marles pada Ahad berkata negaranya tidak akan menyekat kemasukan pelancong Rusia ke negara itu.

"Kami sudah ada pelbagai sekatan dan tumpuan sekatan kami adalah terhadap kerajaan Rusia... bukan rakyatnya. Ini bukan sesuatu yang kami sedang pertimbangkan pada masa ini," lapor Sputnik memetik Marles ketika ditanya penyiar Australia ABC News sama ada Australia akan melarang pelancong Rusia memasuki negara itu.

Pada 12 Sept, Suruhanjaya Eropah menggantung perjanjian kemudahan visa dengan Rusia.

Pada 19 Sept, Poland, Lithuania, Latvia dan Estonia bersetuju untuk bersama-sama memperkenalkan sekatan perjalanan terhadap warga Rusia dan sepakat dengan pendekatan serantau yang sama terhadap pengembara warga Rusia.

-- BERNAMA