PANDEMIK COVID-19 secara tidak langsung mendedahkan ketidaksamaan di serata dunia dan wajar menjadi pemangkin untuk masyarakat sedunia membangunkan model baharu yang lebih inklusif dan adil, ujar Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres.

Guterres dalam satu taklimat khas sempena hari kelahiran Nelson Mandela pada Sabtu merujuk kepada jurang kekayaan yang semakin meluas pada tahap antarabangsa.

“Lebih 70 peratus populasi dunia berdepan dengan ketidaksamaan kekayaan dan pendapatan yang meningkat.

“26 individu terkaya di dunia memiliki jumlah kekayaan yang sama dimiliki oleh separuh populasi global,” ujar beliau.

Beliau mengibaratkan COVID-19 sebagai X-ray kerana pandemik tersebut mendedahkan perpecahan dan penipuan dalam kerangka masyarakat yang tidak kukuh.

Antara ‘penipuan’ yang dimaksudkan termasuk keberkesanan sistem pasaran bebas serta kepercayaan bahawa dunia telah bebas daripada isu perkauman.

“Walaupun kita menelusuri lautan yang sama, ia jelas bahawa sesetengah orang berada dalam kapal pelayaran, manakala yang lain pula berpaut pada serpihan yang hanyut,” kata Guterres.

Tegas beliau, negara maju lebih tertumpu kepada kelangsungan masing-masing dan gagal memberi sokongan kepada negara membangun ketika tempoh perit ini.

Ketidaksamaan kuasa dan kekayaan global ini lebih jelas dilihat, terutamanya apabila kerajaan, syarikat serta individu dituduh memperoleh barang keperluan dan perubatan untuk kepentingan sendiri.

Ujarnya, pandemik ini seharusnya memberi pengajaran kepada masyarakat sedunia untuk mewujudkan satu perjanjian global baharu yang lebih inklusif.

“Bagi menutup kelopongan itu dan mewujudkan satu kontrak sosial baharu, kita perlukan perjanjian global baharu untuk memastikan kuasa, kekayaan dan peluang dikongsi secara lebih luas dan adil pada tahap antarabangsa.

“Model baharu untuk pemerintahan dunia perlu berasaskan penyertaan inklusif dan sama rata dalam institusi global,” kata Guterres.

Bank Pembangunan Asia (ADB) menjangkakan pendapatan serata dunia akan menurun sebanyak AS$1.2 trilion ke AS$1.8 trilion ekoran pandemik COVID-19.

Dalam masa yang sama, Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) pada April menganggarkan kira-kira 1.6 bilion orang yang bekerja dalam sektor bukan formal berpotensi hilang punca pendapatan mereka ekoran pelaksanaan perintah berkurung.

Pekerja bukan formal di serata dunia mengalami kejatuhan pendapatan sebanyak 60 peratus pada bulan pertama krisis itu tercetus, menurut anggaran ILO.

Ini merujuk kepada 80 peratus kejatuhan pendapatan di benua Afrika dan Amerika, 70 peratus di Eropah dan Asia Barat manakala 21.6 peratus direkodkan di Asia dan Pasifik.