BANGKOK: Pihak berkuasa Thailand kini giat memantau tahap sinaran di sebuah kilang peleburan di daerah Kabin Buri, wilayah Prachin Buri di mana bahan radioaktif Caesium-137 dikesan.

Pejabat Atom untuk Keamanan (OAP) Thailand memaklumkan sepasukan pakar telah ditempatkan di kilang berkenaan.

Menurut laporan media sebelum ini, kapsul Caesium-137 yang dilaporkan hilang pada 10 Mac kemudiannya ditemui cair di kilang itu.

Bagaimanapun, pihak berkuasa masih tidak dapat mengesahkan sama ada bahan radioaktif yang dikesan di kilang itu berasal dari kapsul yang sama.

Pakar sedang mempergiat usaha mengesan sinaran radioaktif di kilang berkenaan dan kawasan sekitar, menurut kenyataan OAP.

Tiada pencemaran radioaktif dikesan, menurut ketua pusat operasi kecemasan nuklear dan sinaran OAP, Kitkawin Aramrun.

"Bagaimanapun, pakar akan menjalankan pemeriksaan menyeluruh di kawasan berkenaan. Kami mahu memastikan ia dikawal dengan selamat," katanya.

Sementara itu, jurucakap polis Archayon Kraithong berkata National Power Plant 5A Co akan berdepan tindakan undang-undang kerana lambat bertindak.

Beliau berkata, syarikat itu menyedari kehilangan kapsul itu pada 7 Mac dan hanya membuat laporan polis tiga hari kemudian iaitu pada 10 Mac.

Sementara itu, gabenor Rayong, Traiphob Wongtrairat telah mengarahkan 12.4 tan debu logam dalam 16 beg besar, dipercayai tercemar dengan Caesium-137 di sebuah kilang di Rayong dihantar semula ke kilang peleburan di Prachin Buri.

Pegawai yang meggunakan alat pengesan sinaran bagi memeriksa beg telah mengesan kehadiran Caesium-137, tetapi tahap sinaran dianggap selamat.

-- BERNAMA