PRESIDEN Ukraine, Volodymyr Zelenskyy meluahkan kebimbangan sekiranya Rusia berjaya menakluk wilayah timurnya di Bakhmut.

Kedua-dua negara itu pada ketika ini masih dalam pertempuran yang berlarutan di wilayah tersebut, dengan pasukan pertahanan kedua-dua negara tidak mahu menyerah kalah.

Jelas Zelenskyy, sekiranya misi Rusia itu berjaya, maka Presiden Vladimir Putin akan menggunakan peluang yang ada untuk membina sokongan antarabangsa dengan 'menjual' wilayah itu kepada sekutunya seperti China dan Iran termasuk negara-negara barat.

"Sekiranya Putin berjaya menumpahkan darah, memastikan kita lemah, dia tidak akan berhenti malah akan memberikan tekanan demi tekanan," katanya dalam temu bual eksklusif bersama Associated Press.

Meskipun dibedil, dilumpuhkan di kebanyakan wilayahnya, Ukraine yang mendapat banyak 'sokongan' daripada negara-negara barat telah mengejutkan dunia apabila mampu bertahan sehingga kini dalam menentang Rusia.

Memasuki tahun kedua peperangan bersama Rusia, Zelenskyy mahu terus memberikan fokus dan semangat juang yang tinggi buat pasukan pertahanan negara itu serta rakyatnya.

Zelenskyy dalam masa sama sedar bahawa pasukan pertahanannya dapat mengekalkan beberapa wilayah penting di negara kerana mendapat bantuan daripada negara barat seperti Amerika Syarikat dan negara-negara di Eropah.

Bagaimanapun beberapa pihak di Amerika Syarikat mempersoalkan pendirian negara itu dalam membantu Ukraine kerana seperti masuk campur dalam pertikaian wilayah kedua negara itu dan bukan menjadi keutamaan aspek keselamatan Amerika.

Mengulas berkenaan lawatan Presiden China, Xi Jinping ke Moscow baru-baru ini, kata Zelenskyy, Rusia tidak mendapat sebarang jaminan khusus terutama sekali bantuan ketenteraan.

Ini kerana kata Zelenskyy, tidak lama selepas itu, Rusia seolah-olah mengalihkan perhatian dunia dengan mengerahkan pasukan tenteranya ke Belarus dan menyimpan bekalan senjata di sempadan berdekatan negara-negara Eropah, selepas tidak mendapat sebarang jaminan bantuan dari China.