DENPASAR: Selepas 18 bulan terjejas akibat pandemik COVID-19, akhirnya destinasi percutian terkenal Indonesia, iaitu Bali, kembali dibuka kepada pelancong asing.

Namun, ia kekurangan satu elemen yang penting – penerbangan antarabangsa.

Menurut laporan Reuters, destinasi itu bakal dibuka pada Khamis dan walaupun satu-satunya lapangan antarabangsa di situ iaitu Ngurah Rai telah mengadakan simulasi persediaan kembalinya pelancong-pelancong asing, pengurusan lapangan terbang itu berkata ia tidak akan berlaku dalam jangka masa terdekat.

“Buat masa ini, tiada jadual penerbangan,” kata Taufan Yudhistira, jurucakap bagi lapangan terbang berkenaan.

Laporan itu menyebut, penguatkuasaan ketat oleh Imigresen Indonesia telah mengakibatkan impak yang besar kepada industri pelancongan di pulau itu, termasuk dengan penutupan hotel, kedai-kedai serta perniagaan.

BACA: Bali Indonesia bakal dibuka semula kepada pelancong antarabangsa 

Kerajaan Indonesia mahu memulihkan kembali industri pelancongan di Bali, susulan jumlah kes COVID-19 yang berkurangan secara mendadak sejak Julai tahun ini, di mana Indonesia satu ketika dikenali sebagai pusat perebakan wabak itu.

Namun perincian seperti keperluan Visa, dan rakyat negara mana yang dibenarkan memasuki pulau itu, masih tidak jelas.

Setakat laporan ini diterbitkan, hanya Indonesia hanya membuka sempadannya kepada 19 negara, termasuk China, India, Jepun, Korea Selatan dan New Zealand, serta beberapa negara dari Teluk Arab dan Eropah Barat.

Beberapa pengusaha industri pelancongan Indonesia berkata, pelan pembukaan Bali tidak bertepatan dengan kehendak, di mana I Putu Astawa berkata tempahan terhadap hotel agak rendah.

“Kami bersedia untuk menerima pelancong ke Bali, tetapi ia tidak bermasuk destinasi ini bersedia untuk menerima jumlah pelancong yang tinggi. Paling awal, kami boleh menilai kembali situasi ini pada penghujung 2021,” kata Pengarah Eksekutif Persatuan Hotel dan Restoran Bali, Ida Bagus Purwa Sidemen.

Sementara itu Gabenor Bali, I Wayan Koster dilaporkan berkata, pihaknya ingin memulihkan kembali Bali kerana lebih 54 peratus sektor ekonomi bergantung kepada pelancongan.