COX'S BAZAR: Taufan Siklon Mocha beserta hujan lebat dan angin kencang yang melanda Bangladesh dan Myanmar menyebabkan penduduk di kawasan pantai berisiko kehilangan rumah mereka.

Taufan berkenaan yang membawa kelajuan angin sehingga 210 kilometer sejam dan ombak berketinggian empat meter dijangka menjejaskan lebih dua juta orang.

Portal berita BBC melaporkan, bencana alam itu menyebabkan lebih 1,300 pondok buluh di kem pelarian terbesar dunia, Cox’s Bazar, Bangladesh telah musnah.

Sementara lima orang pula dilaporkan terbunuh di Myanmar.

Dalam perkembangan sama, taufan itu turut menyebabkan tanah runtuh dan banjir juga melanda kawasan tersebut.

Di kawasan berdekatan pantai di Cox’s Bazar, polis tempatan meningkatkan kawalan keselamatan dengan memberi peringatan melaui pembesar suara menggesa pendudukan agar tinggal di dalam rumah semasa ribut melanda.

Ketika ribut melanda juga, jalan-jalan menjadi lenggang, langit bertukar gelap sementara angin semakin laju dan hujan turun dengan lebat.

Beratus-ratus orang pula berhimpun di sebuah sekolah di bandar itu yang telah dijadikan tempat perlindungan sementara.

Ibu-ibu dengan bayi serta kanak-kanak kecil dan warga tua yang uzur ditempatkan di ruang-ruang kosong yang ada dalam kelas.

Tidak ketinggalan ada mangsa yang tertidur di atas meja, tidak kurang yang melepaskan lelah di bawah meja.

Menurut laporan pihak berkuasa, lebih 500,000 orang telah dipindahkan dari kediaman mereka di sepanjang bahagian tenggara Bangladesh.

Ribuan mangsa tiba di tempat perlindungan sama ada dengan berjalan kaki atau menaiki beca dan membawa bersama ternakan mereka seperti lembu, ayam, kambing dan tidak ketinggalan tikar untuk dialas dan dijadikan tempat tidur.

Kebanyakan daripada mereka datang dari perkampungan nelayan dan pantai dengan sebahagiannya mengambil masa selama dua jam perjalanan untuk sampai ke tempat perlindungan, membuat pilihan yang sukar.

"Saya tidak mahu meninggalkan rumah saya," kata Sumi Akter yang tinggal di pinggir sungai.

Sumi dan mangsa lain yang ditempatkan di pusat perlindungan berkata, mereka telah melalui beberapa ribut lain dalam beberapa tahun kebelakangan ini dan sudah menerima hakikat terpaksa meninggalkan kediaman mereka mengikut kehendak semulajadi.

Gelombang taufan setinggi empat meter bepotensi melanda kampung-kampung terutama di kawasan rendah.

Disebabkan itu, Sumi dan mangsa-mangsa lain bimbang rumah mereka mungkin akan tenggelam.

"Saya berharap rumah-rumah tempat kami tinggal dibina dengan lebih kuat," katanya penuh mengharap.

Jannat yang berusia 17 tahun, yang ditemui BBC sehari sebelum itu di tempat perlindungan yang sama berkata, apa yang membuatkan dia takut ialahmelihat keadaan rumahnya yang terletak di tepi sungai apabila pulang kelak.

Tahun lalu, ribut Sitrang memusnahkan kediamannya memaksa dia mengeluarkan sejumlah wang yang ada untuk membaikinya.

"Bagaimana saya boleh hidup jika ini terus berlaku? Saya tidak mampu untuk membangunkan semula kehidupan - kami sangat miskin," luahnya.