DUA bangunan pencakar langit berkembar yang dibina secara haram di pinggir New Delhi dirobohkan pada Ahad.

Ribuan penduduk yang tinggal berdekatan diarah mengosongkan kediaman masing-masing selama kira-kira 10 jam bagi memberi laluan kepada kerja-kerja merobohkan itu.

Bangunan haram setinggi hampir 100 meter itu menempatkan 850 unit pangsapuri yang tidak berpenghuni.

Lebih 3,500 kilogram bahan letupan digunakan untuk merobohkan menara pangsapuri itu, menerusi kaedah pengeboman terkawal.

Letupan itu meninggalkan lebih 80,000 tan sisa runtuhan yang akan dikitar semula.

Beberapa bangunan di sekitarnya ditutup dengan kepingan plastik putih bagi melindunginya daripada serpihan yang berterbangan selepas kerja-kerja merobohkan selesai.

Tindakan terhadap bangunan yang terletak di bandar Noida, Uttar Pradesh itu, diambil susulan keputusan mahkamah bahawa bangunan itu dibina secara haram. 



Pembinaan Haram | Dua bangunan pencakar langit di India dirobohkan