ISLAMABAD: Sekurang-kurangnya 57 orang maut, manakala 7,683 lagi cedera akibat banjir kilat di Pakistan yang dicetuskan hujan monsun dalam tempoh 24 jam lepas, menurut laporan Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana Negara (NDMA) pada Jumaat.

Sekurang-kurangnya 17 kanak-kanak dan 18 wanita antara yang terkorban dalam insiden banjir di seluruh negara, lapor Xinhua.

Wilayah Sindh ialah kawasan paling teruk terjejas dengan angka kematian mencecah 38 manakala 7,204 lagi cedera, diikuti wilayah Khyber Pakhtunkhwa (17 kematian), dan di wilayah Punjab (471 orang cedera).

Jumlah kematian di Pakistan sejak pertengahan Jun telah meningkat kepada 1,265 manakala 12,577 yang lain cedera, menurut statistik terkini NDMA.

NDMA memaklumkan sekitar 169,676 orang diselamatkan, dan 627,793 lagi ditempatkan di pusat pemindahan sementara.

Selain itu, dianggarkan sebanyak 1,427,039 kediaman musnah, manakala 735,584 ternakan mati akibat banjir di seluruh negara.

NDMA, pertubuhan kerajaan, sukarelawan serta pertubuhan bukan kerajaan sedang giat menjalankan misi bantuan dan menyelamat di kawasan terjejas.

-- BERNAMA