Banjir Sulawesi: Angka korban meningkat, hampir 7,000 dipindahkan

Agensi
Januari 28, 2019 00:00 MYT
Pasukan penyelamat memindahkan mangsa banjir menggunakan bot khas. - Foto Reuters
Sekurang-kurangnya 68 orang terkorban dan hampir 7,000 orang diperintah untuk berpindah ke pusat perlindungan sementara selepas bencana banjir, tanah runtuh dan puting beliung melanda Sulawesi, Indonesia pada minggu lalu, ujar pihak berkuasa pada Ahad.
Pasukan penyelamat masih mencari tujuh orang yang masih hilang, sementara 47 lagi mengalami kecederaan dalam kejadian yang berpunca daripada hujan lebat hinggakan paras air di empangan melimpah, ujar Ketua Agensi Pengurusan Bencana Indonesia, Sutopo Purwo Nugroho.
Lebih daripada 5,000 rumah ditenggelami air dan banjir lumpur selain beberapa infrastruktur lain seperti jambatan, sekolah dan rumah ibadah rosak teruk.
Tidak ketinggalan, ribuan ekar sawah padi juga musnah, kata Sutopo dalam satu kenyataan.
Di beberapa kawasan yang menunjukkan tanda air mulai surut, penduduk yang terlibat mula kembali ke kediaman masing-masing, namun jentera yang secukupnya diperlukan untuk membersihkan lapisan tebal lumpur di laluan masuk ke kawasan kediaman.
Sementara itu, ramai lagi yang memilih untuk terus tinggal di pusat pemindahan sementara kerana masih trauma dengan impak bencana itu. Sutopo menambah, keperluan asas seperti makanan, selimut dan ubat-ubatan masih diperlukan.
Bencana yang melanda selatan Sulawesi pada minggu lalu itu juga menjejaskan ibu kotanya, Makassar.
#banjir #banjir lumpur #korban #Makassar #mangsa #Penduduk #Sulawesi