Seperti kebanyakan universiti, Virginia Tech's College of Veterinary Medicine meraikan graduan tahun 2020 dengan acara konvokesyen dalam talian.

Namun tahun ini menyaksikan kehadiran graduan yang istimewa, iaitu seekor anjing bernama Moose.

Anjing terapi berusia 8 tahun yang mencurah khidmat di Pusat Kaunseling Cook, menerima ijazah doktor kehormat dalam perubatan veterinar dalam acara yang berlangsung pada Jumaat.

Moose, yang telah bersama Virginia Tech sejak 2014, merupakan salah seekor daripada empat anjing terapi di universiti berkenaan, selain turut berperanan sebagai duta kempen kesedaran kesihatan mental.

Menurut pemiliknya yang juga seorang kaunselor, Trent Davis, Moose telah membantu ribuan pelajar menerusi lebih 7,500 sesi kaunseling.

"Ada antara kita yang mempunyai masalah untuk serasi dan berkomunikasi dengan rakan-rakan lain. Moose memberi mereka kekuatan dan rasa tenang.

"Pelajar-pelajar di sini melihat Moose sebagai rakan dan mereka tidak bimbang kerana Moose jelas tidak akan menghakimi mereka," kata Davis kepada CNN.

Moose, kata Davis, telah banyak membantu memecahkan stigma mengenai penjagaan kesihatan mental bukan sahaja dalam kalangan pelajar malah tenaga pengajar dan petugas di kampus.

"Kerjaya dalam bidang perubatan sangat mencabar. Kita melihat kadar bunuh diri yang tinggi kerana tugasan ini mengganggu fizikal dan mental.

"Kehadiran Moose benar-benar membantu dan sentiasa menjadi pilihan mereka yang ke sini untuk menerima rawatan," ujar Davis.