'BAPA bom nuklear' Pakistan, Abdul Qadeer Khan, meninggal dunia pada usia 85 tahun, selepas menerima rawatan di hospital akibat dijangkiti COVID-19.

Saintis berkenaan dinobat sebagai wira negara kerana berjaya menjadikan negara itu sebagai negara Islam pertama yang mempunyai kuasa nuklear.

Namun beliau turut dituduh oleh negara barat sebagai individu bertanggungjawab menyeludup teknologi nuklear kepada negara lain seperti Korea Utara dan Iran.

Sejurus selepas berita pemergiannya itu, Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan berkata negara berkenaan telah kehilangan seorang 'ikon kebangsaan'.


"Beliau disangjungi oleh rakyat negara ini atas sumbangannya menjadikan kami negara yang mempunyai kuasa nuklear," katanya dalam ciapan di akaun Twitter miliknya.

Dikenali sebagai AQ Khan, saintis berkenaan membangunkan loji kuasa nuklear pertama Pakistan di Kahuta, berdekatan Islamabad.

Pada 1998, Pakistan telah berjaya menjalankan ujian nuklear pertama negara itu.

Namun tidak lama selepas itu, Abdul Qadeer ditahan pada 2004 selepas dituduh berkongsi teknologi nuklear secara haram dengan Iran, Libya dan Korea Utara.

Beliau diberi pengampunan oleh bekas Presiden Pervez Musharraf pada 2009 namun diperintahkan menjalani tahanan di rumah.