Seorang pemandu penghantaran terkejut apabila dikenakan bayaran parkir lebih S$3,100 (RM9,409) di Jewel Lapangan Terbang Changi, Singapura pada Rabu.

Pemandu berkenaan, Supra Mac, 27, memberitahu The Straits Times yang dia hanya berada di kawasan parker loading bay Jewel selama 45 minit.

Insiden itu menjadi viral apabila Supra berkongsi foto mesin pembayaran di Facebooknya yang menunjukkan jumlah S$3,158.72 (RM9,587) yang perlu dibayar.

Jurucakap Jewel Changi Airport mengesahkan insiden dan menjelaskan bahawa ia terjadi kerana pemandu tidak mendaftar keluar dari kawasan itu.

"Kami mengesahkan bahawa ini adalah kes yang berlaku pada 10 April di parkir loading bay.

"Tiada rekod pemandu meninggalkan tempat letak kereta, dan dengan itu caj letak kereta masih berjalan sehingga lawatan seterusnya iaitu 24 April," kata jurucakap itu pada hari Jumaat.

Jurucakap itu menambah bahawa semua pemandu digalakkan untuk mengekalkan "jarak yang selamat" dari kereta di hadapan untuk memastikan bahawa sistem mesin parkir berjaya merekodkan semua pintu masuk dan keluar.



Supra berkata beliau tidak berdepan apa-apa masalah ketika keluar dari parkir pada 10 April dan tidak berada rapat dengan mana-mana kenderaan ketika itu.

Katanya, selepas membuat penghantaran pada 24 April, dia mendapati tidak dapat meninggalkan tempat letak kereta kerana "baki tidak mencukupi."

"Saya baru saja menambah nilai Cashcard saya pada waktu pagi. Apabila saya nampak jumlah yang saya perlu bayar, saya berasa amat terkejut," katanya.

Selepas berkomunikasi dengan kakitangan Jewel melalui interkom, dia dibenarkan keluar dari tempat letak kereta selepas menunggu kira-kira 10 hingga 15 minit.

Tiada bayaran yang diminta.

“Saya rasa bukan salah sesiapa. Mungkin ia satu kesilapan teknikal dan pihak pengurusan Jewel menyelesaikannya dengan baik,” katanya.