LONDON: BBC pada Khamis umum pengurangan 382 pekerjaan sebagai sebahagian daripada langkah meluas untuk mengurangkan kakitangan Perkhidmatan Dunia BBC.

"Inflasi yang tinggi, kos yang melambung tinggi dan penyelesaian yuran lesen tunai sekata menyebabkan BBC terpaksa mengambil keputusan yang sukar membabitkan seluruh BBC, dan perkhidmatan antarabangsa BBC perlu membuat penjimatan sebanyak GBP28.5 juta (US$32.4 juta) sebagai sebahagian daripada GBP500 juta simpanan tahunan dan pelaburan semula untuk BBC diterajui secara digital," lapor Agensi Anadolu memetik kenyataan oleh syarikat penyiaran itu.

Perkhidmatan penyiaran dalam bahasa Cina dan Urdu akan dikurangkan, manakala perkhidmatan khusus dalam bahasa Gujarat, Igbo, Indonesia, Pidgin dan Yoruba akan dialihkan ke format dalam talian sahaja.

Kandungan dalam talian yang lebih murah akan menggantikan perkhidmatan radio dan televisyen yang lebih mahal dalam bahasa Arab, Turki, Parsi, Azerbaijan, Vietnam, Rusia, Thai dan lain-lain.

BBC juga akan menghentikan sepenuhnya perkhidmatan radio, antaranya dalam bahasa Arab, Parsi, Hindi, Cina, Kyrgyz dan Urdu.

Perkhidmatan Dunia untuk siaran radio 24 jam akan terus dikendalikan dalam Bahasa Inggeris.

Beberapa perkhidmatan akan dipindahkan dari London, dengan perkhidmatan Thai dipindahkan ke Bangkok, Korea ke Seoul dan Bangla ke Dhaka.

"Terdapat situasi menarik yang mendorong kami untuk mengembangkan perkhidmatan digital merentasi Perkhidmatan Dunia untuk memberi perkhidmatan yang lebih baik dan berhubung dengan khalayak kami," kata Pengarah Perkhidmatan Dunia BBC, Liliane Lando.

Philippa Childs dari kesatuan penyiaran Bectu berkata, kesatuan itu mengakui bahawa ketika BBC perlu menyesuaikan diri untuk menghadapi cabaran landskap media yang berubah-ubah, "sekali lagi golongan pekerja terjejas akibat penilaian politik yang buruk oleh kerajaan - iaitu pembekuan yuran lesen dan cabaran pembiayaan sehingga membawa kepada cadangan ini."

Childs menyedari langkah itu berpotensi menjejaskan reputasi BBC di peringkat global. - BERNAMA