BEIJING: China akan terus mengoptimumkan dan menyesuaikan langkah-langkah berkaitan COVID-19 mengikut perkembangan situasi wabak, bekerjasama dengan pihak-pihak berkaitan untuk memastikan perjalanan rentas sempadan yang selamat, lancar dan teratur, kata jurucakap Kementerian Luar China, Wang Wenbin dalam sidang media pada Rabu.

Beberapa negara mutakhir ini mengalu-alukan kedatangan pelancong China, susulan pelaksanaan langkah baharu China dalam menyelaraskan dasar pembendungan COVID-19.

Di Thailand misalnya, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kesihatan Awam, Anutin Charnvirakul berada di Lapangan Terbang Suvarnabhumi Bangkok untuk menyambut kedatangan pelancong dari China pada Isnin.

Maldives pula menerusi pengumuman di portal Kementerian Luar dan akaun Twitter menyatakan bahawa negara itu mengalu-alukan langkah China menyelaraskan dasar membabitkan pergerakan rentas sempadan dan pihaknya tidak sabar untuk menyambut kedatangan pelancong China.

Perdana Menteri Kemboja Hun Sen turut menzahirkan harapan untuk menerima dua juta pelancong China pada tahun ini.

Di Indonesia, pihak berkuasa negara ini mengambil inisiatif dengan mengerahkan kakitangan kerajaan yang mahir berbahasa Mandarin untuk membantu mengendalikan pelancong China manakala agensi pelancongan tempatan menawarkan pakej pelancongan sempena sambutan Tahun Baharu China (TBC).

Wang Wenbin berkata China akan memberikan lebih banyak kemudahan kepada rakyat tempatan untuk melancong ke negara-negara itu, di samping menambah bilangan penerbangan terus antara China dengan negara berkenaan.

"China akan terus menyumbang kepada usaha memerangi COVID-19 di dunia dan pemulihan ekonomi global," kata Wang.

-- BERNAMA