BEIJING: Pihak berkuasa Beijing mengklasifikasikan penularan COVID-19 yang bermula di sebuah bar mewah di kawasan kejiranan Chaoyang yang ramai penduduk sebagai teruk selepas sekurang-kurangnya 166 orang dijangkiti, lapor Sputnik.

"Penularan COVID-19 di bar Heaven di Chaoyang adalah teruk daripada segi skala dan kepadatan. Kali ini ia lebih sukar dikawal dan dicegah daripada merebak berbanding sebelum ini," kata jurucakap kerajaan bandar Xu Hejian.

Wabak itu dikesan minggu ini, merebak ke 14 daerah Beijing dalam beberapa hari. Pihak berkuasa bandar merancang untuk membuat ujian terhadap penduduk Chaoyang dari Isnin hingga Rabu.

Beijing mula melonggarkan sekatan COVID-19 di kebanyakan daerah pada Isnin. Bar, restoran, tempat kebudayaan dan hiburan, taman dan ruang awam lain dibuka semula, dan pengangkutan awam beroperasi seperti biasa.

-- BERNAMA