SEOUL: Bekas Presiden Korea Selatan Park Geun-hye dibebaskan pada Jumaat di bawah pengampunan khas yang diberikan oleh Presiden Moon Jae-in, lapor Xinhua memetik laporan Agensi Berita Yonhap.

Park, yang dipenjarakan selama 57 bulan atas tuduhan rasuah, dilaporkan menerima surat pengampunan di sebuah hospital di Seoul, tempat beliau dirawat selama lebih sebulan berikutan sakit bahu dan pinggang yang kronik.

Bekas presiden berusia 69 tahun itu, menjalani pembedahan bahu pada 2019, dikatakan merancang untuk mendapatkan rawatan di hospital itu sehingga 2 Feb tahun depan.

Seminggu sebelum itu, kementerian kehakiman mengumumkan Park dimasukkan dalam senarai pengampunan khas Moon untuk tahun baharu.

Park dijatuhi hukuman penjara 22 tahun dan menjalani hukuman itu sejak 2017 selepas didakwa dan dipecat daripada jawatan atas tuduhan rasuah.

Menurut pejabat Presiden, kesihatan Park yang semakin merosot dipertimbangkan dalam membuat keputusan pengampunan.

Park akan dilindungi oleh perkhidmatan keselamatan presiden, tetapi beliau tidak akan tertakluk kepada keistimewaan lain sebagai bekas presiden, termasuk peruntukan pencen khas dan setiausaha peribadi, atas sabitan kesalahannya.

-- BERNAMA