Bekas Setiausaha Agung PBB Boutros Boutros-Ghali yang mengetuai badan dunia itu dari tahun 1992 hingga 1996 meninggal dunia pada usia 93 tahun.

"Kami telah dimaklumkan bahawa Boutros Boutros-Ghali, bekas Setiausaha Agung, telah meninggal dunia," umum Duta Venezuela Rafael Ramirez yang memegang jawatan presiden majlis pada bulan ini.

Ahli Majlis Keselamatan berdiri seketika untuk bertafakur sebagai memperingati Boutros-Ghali.

Boutros-Ghali sebelum ini pernah menerima panggilan telefon daripada Presiden Mesir Abdel Fattah al-Sisi pada Khamis selepas dikejarkan ke Hospital Kaherah.

Diplomat Mesir itu dikenali sebagai setiausaha agung yang pernah dihalang daripada terus memegang jawatan untuk penggal kedua menerusi kuasa veto Amerika Syarikat.

Beliau dilahirkan pada 14 November 1922 di Kaherah dan mendapat pendidikan di Universiti Kaherah dan juga di Paris.

Boutros-Ghali menjadi Menteri Luar Mesir pada 1977 di bawah pimpinan Presiden Anwar al-Sadat.

Beliau menjadi setiausaha agung PBB keenam dan yang pertama daripada benua Afrika pada 1 Januari 1992.